Akibat terlelap, dua maut kemalangan

Akibat terlelap, dua maut kemalangan

29/11/2019 6:48 PM Off By admin

Akibat pemandu dipercayai terlelap seketika menyebabkan dua penumpang maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 86 Jalan Lipis – Merapoh di sini awal pagi ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu ialah penumpang hadapan Mohd. Shaiful Abdul Manaf, 42, dan Wan Khairul Anwar Wan Kamarunzaman, 32, yang merupakan penumpang belakang.

Anggota sedang berusaha mengeluarkan mangsa.

Dalam kejadian itu pemandu kereta jenis Perodua Viva yang berumur 39 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu dipercayai telah terlelap lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori yang berada di lorong kecemasan.

“Akibat kemalangan, dua penumpang maut di tempat kejadian manakala mangsa lain tidak mengalami kecederaan,”katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.