Awas! buang kulit durian merata-rata boleh kena denda maksimum RM100 ribu!

Awas! buang kulit durian merata-rata boleh kena denda maksimum RM100 ribu!

18/07/2021 11:25 AM 0 By Miss Kay

Oleh Miss U

KUANTAN, 16 JULAI – Awas! Sekiranya anda ditangkap dan didapati bersalah melonggok dan melupuskan kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan di kawasan persendirian anda boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000!

Hukuman itu boleh dibuat dibawah Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), yang mana turut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, jika didapati bersalah.

Wah, lumayan sangat hukuman tu jadi jangan sembarangan membuang sampah terutamanya kulit durian di musim raja buah sedang hangat ni kerana anda diperhatikan!

Baru-baru ini, Peguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Raub menahan seorang lelaki sedang membuang kulit durian di kawasan persendirian kawasan perkuburan Sempam di Cheroh, Raub,Pahang.

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid seperti dilaporkan Harian Metro berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika operasi penguatkuasaan sampah haram kulit durian dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam berhubung perkara itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam dan risikan yang dijalankan sepasukan penguatkuasa SWCorp berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama svspek.

“Ketika ditahan, svspek memberi kerjasama dan disy.aki melakukan k.esalahan di bawah seksyen tersebut.

“Dalam kes ini, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Sharudin berkata, siasatan awal mendapati kira-kira satu tan kulit durian sudah dibuang di kawasan terbabit yang turut dilakukan individu lain.

Katanya, pasukan penguat kuasa SWCorp ketika ini mengadakan operasi mengesan kawasan yang dijadikan tempat pembuangan sisa kulit durian.

“Dengan tindakan yang dikenakan terhadap suspek itu diharap memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan perbuatan sama.

“Oleh itu, kita meminta kerjasama orang ramai yang melihat perbuatan terbabit supaya melaporkan kepada SWCorp untuk tindakan.

“Kita tidak mahu kawasan persendirian dijadikan tempat pembuangan kulit durian hingga mengundang pencemaran terutama bau busuk,” katanya.

Dalam perkembangan lain memetik laporan Sinar Harian, sikap rakyat Malaysia terhadap pengurusan sampah masih di takuk lama.

Masih ramai yang membuang sampah sesuka hati tanpa mengendahkan kesannya kepada masyarakat, alam sekitar dan imej Malaysia sebagai negara yang sedang pesat membangun.

Perkara itu dilihat semakin menjadi-jadi terutama ketika berlangsungnya cuti umum. Pusat peranginan dan taman rekreasi pasti akan dipenuhi dengan sampah akibat perbuatan tangan segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai contoh, semasa cuti Aidiladha lalu, tular dalam media sosial mengenai longgokan sampah yang dibiarkan di sepanjang bahu jalan raya di sebuah negeri di pantai timur. Senario itu berlaku disebabkan sikap segelintir pengguna yang malas hendak menguruskan sendiri sisa sampah yang dihasilkan.

Berdasarkan kes demi kes yang berlaku, boleh disimpulkan bahawa rakyat Malaysia masih gagal dalam bab pengurusan sampah walaupun didikan demi didikan telah diterapkan sejak di bangku sekolah rendah.

Jadi, sudah sampai masanya kerajaan memperkasakan undang-undang berkaitan dengan sampah. Jika tidak, perkara sama akan berlarutan sehingga menjadi budaya dalam masyarakat.

Pelaksanaannya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar meletakkan tanda amaran tanpa sebarang tindakan.

Pemantauan pihak berkuasa perlu dilakukan di tempat-tempat tumpuan bagi mendidik rakyat agar melupuskan dan menguruskan sisa buangan yang dihasilkan dengan baik dan bukan meninggalkannya sesuka hati.

Cuba lihat negara jiran di seberang tambak. Ketegasan pemerintahnya menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembuangan sampah menyebabkan rakyat mereka tidak berani membuang sampah sesuka hati.

Hasilnya, negara mereka bersih dan bebas daripada sisa sampah yang bertaburan sama ada di jalanan atau kawasan perumahan.

#