Bangkit isu kereta terbang hanya mahukan penjelasan pimpinan

Bangkit isu kereta terbang hanya mahukan penjelasan pimpinan

09/12/2019 1:03 PM Off By Muhayudin Salleh

Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang ingin menarik perhatian berkaitan perbahasan usul oleh Timbalan Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden yang menyentuh tajuk “Setahun Pemerintahan Pakatan Harapan” yang berlangsung Sabtu lalu.

Mohd Fadzli Mohd Ramly

Ia antara lain membangkitkan isu kepentingan rakyat dan menjadi bualan dalam pelbagai media seperti Program Subsidi Petrol (PSP), prestasi menteri Amanah dan PH, peranan Amanah dalam PH, isu-isu yang dimainkan oleh pembangkang seperti kereta terbang (super drone) serta Bantuan Sara Hidup (BSH).

Pengerusinya, Zulkifli Mohamed, berkata, isu tersebut dibangkitkan perwakilan Pahang adalah atas kapasiti Amanah Pahang dalam forum yang betul iaitu Konvensyen Tahunan yang menjadi medan muhasabah dan mencari formula terbaik untuk diaplikasi kemudiannya dalam kerajaan.

“Kesemuanya telah dijawab dalam ucapan penggulungan para pimpinan parti dan membuat ketegasan bahawa berlaku salah faham rakyat terhadap maklumat sebenar daripada yang dilaksanakan kerajaan seperti yang ditegaskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Abd Samad dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli terutama dalam isu kereta terbang (super drone),” katanya.

Dalam pada itu, beliau bagi pihak Amanah Pahang juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan apa yang dibangkitkan dan menegaskan ianya memberikan penegasan serius salah faham terhadap isu dan projek negara yang dilakukan kerajaan serta dijawab dengan baik oleh para pimpinan.

“Sifat keterbukaan dan berlapang dada dalam kalangan pimpinan Amanah Nasional yang bersedia mendengar kritikan membina daripada perwakilan amat dipuji kerana perwakilan diberi kebebasan bersuara namun masih mengekalkan cara yang berhemah dan beradab dalam perdebatan,” katanya.