Bayi tiga bulan meninggal dunia semasa dalam jagaan pengasuh

Bayi tiga bulan meninggal dunia semasa dalam jagaan pengasuh

26/07/2019 4:38 PM Off By admin

Seorang bayi berusia tiga bulan dilaporkan meninggal dunia semasa dalam jagaan pengasuh di Taman Lembah Bujang, di sini semalam.

Sinar Harian melaporkan, ibu mangsa, Siti Halijah Hasim, 29, berkata, berita kejadian itu diterima apabila pengasuh menelefonnya dan memaklumkan tangan dan kaki anaknya, Danial Affan Shazrul Fazami bertukar sejuk.

Menurutnya, dia mula berasa tidak sedap hati apabila wanita berusia 30-an itu memberitahunya dalam keadaan menangis.

“Saya cepat-cepat hubungi suami, dia kata pergilah tengok dulu sebab tempat kerja suami agak jauh di Sungai Petani dan ambil masa untuk sampai dengan cepat,” katanya kepada pemberita di kediaman mereka, hari ini.

Siti Halijah yang bekerja di bahagian keselamatan Aimst University itu bagaimanapun terkejut sejurus tiba apabila mendapati keadaan anaknya sudah kaku.

“Dalam tempoh 10 minit, suami juga sampai dan kami terus bawa anak ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

“Bagaimanapun, setengah jam kemudian doktor mengesahkan anak sudah meninggal dunia setelah pelbagai percubaan untuk menyelamatkannya gagal,” katanya.

Katanya, senyuman dan gelak tawa bayi comel yang dilahirkan secara pembedahan seberat 4.04 kilogram pada 10 April lalu masih terpahat segar di ingatan, namun dia reda menerima takdir ALLAH.

Sementara itu, suaminya, Shazrul Fazami Abdul Malek, 36, berkata, dia menghantar anak kedua, Danish Aryan, 2, dan Danial Affan pada jam 6.30 pagi seperti biasa dalam keadaan sihat.

“Anak kedua memang dijaga pengasuh sejak dua tahun lalu serta tak pernah ada masalah.

“Terkejut jugalah tengok anak macam tu, tapi nak buat macam mana, kami reda walaupun hanya diberi pinjam tiga bulan, ALLAH lebih sayangkan dia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dilaporkan telah meninggal dunia dalam perjalanan dari rumah pengasuh di Taman Lembah Bujang, Merbok ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan luka atau lebam yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Bapa mangsa memaklumkan pada jam 6.30 pagi, dia telah menghantar dua orang anak ke rumah pengasuh dalam keadaan baik.

“Hasil temubual dengan pengasuh dimaklumkan mangsa tidak pernah jatuh dan dipukul semasa dalam jagaannya.

“Bayi itu dijaga mulai 6.30 pagi sehingga 7.30 petang setiap hari. Dalam masa sama, pengasuh turut menjaga dua kanak-kanak lain,” katanya.

Menurutnya, keputusan laporan bedah siasat masih belum diperolehi.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bujang lebih kurang jam 11 malam tadi.