Beri peluang kontraktor Angkasa sertai projek ECRL

Beri peluang kontraktor Angkasa sertai projek ECRL

17/04/2019 4:14 AM 0 By admin

KUANTAN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggesa kerajaan membuka peluang kepada kontraktor di bawah koperasi memperoleh kontrak daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, dengan peluang yang disediakan oleh kerajaan, ahli koperasi yang menjalankan perniagaan tersebut mampu menjana pendapatan.

Menurutnya, terdapat kira-kira 400 koperasi yang mempunyai pelbagai peringkat lesen kontraktor dan berkelayakan untuk turut terlibat dengan projek bernilai RM44 bilion itu.

“Kita meminta agar kerajaan memberi peluang kepada gerakan koperasi untuk terlibat dalam pelaksanaan projek ECRL.

“Mereka wajar diberi peluang untuk terlibat dalam kerja-kerja bersesuaian dalam komponen projek mega itu seperti membina pagar, longkang dan memotong rumput,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sudut Laman Angkasa Kepada Koperasi Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak Berhad di Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk memberi ruang perniagaan kepada gerakan koperasi di stesen-stesen ECRL bagi membolehkan mereka menjual barangan kepenggunaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 300 koperasi di sekitar Lembah Klang akan melaksanakan program Barang Asas 100 (BA 100) bermula bulan depan.

“Sistem BA 100 membolehkan koperasi membeli terus daripada pengeluar tanpa melibatkan orang tengah, sekali gus merendahkan harga yang dijangka antara 10 dan 20 peratus berbanding pasaran biasa.

‘’Apabila kita juga menjual dengan harga rendah kepada pengguna, ia secara tidak langsung membantu meringankan beban pengguna,” katanya.

Abdul Fattah berkata, BA 100 yang membabitkan barang basah seperti ikan dan juga keperluan asas seperti minyak masak dan gula akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.

Tambahnya, sebanyak 3,750 rangkaian kedai runcit milik koperasi berdaftar dengan Angkasa melaksanakan BA100 secara berperingkat.

“Buat permulaan kita akan fokuskan di 300 koperasi di Lembah Klang yang kita mulakan sebelum puasa dan kita akan kembangkan ke peringkat negara selepas raya.

“Ini juga terbukti di luar negara seperti di Jepun dan Korea. Setelah mereka melakukan cara ini mereka dapatkan menawarkan harga-harga lebih murah dan kompetitif.

“Sistem khas yang dibangunkan bersama sebuah syarikat Bumiputera itu dikenali sebagai Barang Asas Retail Platform (BARP) yang dibangunkan untuk membantu koperasi peruncitan mendapatkan bekalan barangan asas terus daripada pengilang,” katanya