CAT FARISH HIDAP SLEEP APNEA. POTONG USUS ATAS NASIHAT PAKAR

24/07/2021 7:16 PM 0 By Miss Kay

Oleh Miss U

KUALA LUMPUR: Ahli kumpulan Ruffedge, Cat Farish berdepan dengan masalah kesihatan ketika usianya lagi tiga tahun menginjak ke 50 tahun, malah terlalu sukar mahu menurunkan berat badan, sekali gus mengganggu perjalanan kerjaya seni.

Menurut laporan Berita Harian, Cat atau nama sebenarnya, Farish Ramli akui, mempunyai pelbagai masalah penyakit seperti diabetes, kolestrol tinggi, darah tinggi, mudah tertidur, semput, malah saluran jadi sempit hingga tidak boleh sedut oksigen.

Masalah pernafasan juga membuatnya sentiasa berselera makan.

Atas nasihat pakar kesihatan, Datuk Dr Tikfu Gee, Cat berusaha menurunkan berat badan dengan melakukan diet dan bersenam.

Bagaimanapun, atas usahanya hanya mampu menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).

Beratnya ketika itu mencecah 130kg.

Akhirnya, doktor berkenaan menyarankan melakukan pembedahan bariatrik atau ‘Sleeve Gastrectomy’ membabitkan pemotongan usus perut antara 70 hingga 80 peratus pada November 2019.

Menerusi pembedahan pemotongan usus itu membuahkan hasil apabila berat badan penyanyi dan komposer itu berjaya menurun sehingga 75kg.

Namun, Cat perlu mengamalkan diet karbohidrat selama lapan bulan dan tidak mengambil gula dalam pemakanan seharian selesai sahaja menjalani prosedur pembedahan.

Berkongsi mengenai transformasi dirinya, tanpa berselindung, Cat berkata, dia melakukan pembedahan pemotongan usus bukan mengikut ‘trend’.

“Namun, keputusan melakukan pembedahan didorong banyak perkara. Pada usia sekarang, pelbagai penyakit datang menyerang dan mengganggu kerjaya.

Paling ketara, penyakit gangguan tidur dipanggil ‘sleep apnea’ yang membabitkan pernafasan.

“Saluran pernafasan bermasalah hingga mengakibatkan kurang oksigen ke otak. Dengkuran kuat juga berlaku hingga menyebabkan pernafasan terhenti 30 kali setiap kali tidur. Situasi ini amat menakutkan saya.

“Atas sebab itu jugalah saya dinasihatkan menurunkan berat badan secara diet dan senaman. Saya gagal dalam usaha ini kerana hanya berjaya menurunkan berat badan dalam 10kg. Selepas itu, doktor menyarankan saya melakukan pembedahan pemotongan usus,” katanya kepada BH Online.

Katanya, secara keseluruhan kos pembedahan pemotongan usus membabitkan RM30,000.

“Bagaimanapun, saya bertuah ditaja separuh daripada jumlah berkenaan oleh Dr Tikfu Gee. Tajaan ini bukan atas paksi publisiti, sebaliknya bermurah hati mahu menaja dan membantu. Saya anggap ini sebagai rezeki terpijak.

“Pembedahan hanya mengambil masa 30 minit sahaja. Namun, jujurnya, seharian saya senak perut. Saya dinasihatkan tidak mengambil makanan berat. Saya hanya dibenarkan mengambil makanan dalam bentuk cecair selama tiga minggu.

“Seterusnya, perlahan demi perlahan saya disuruh makan makanan berprotein dan minum banyak air. Selama lapan bulan saya berdiet dengan membiasakan keadaan diri.

“Saya hanya mengambil nasi sekitar tiga sudu, tetapi dengan lauk berlebihan. Hingga kini, saya tidak sentuh nasi sangat. Saya kurang makanan berkarbohidrat dan melebihkan protein seperti sayur,” katanya.

Penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, soal pemakanan sukar mahu menyekat nafsu makannya.

“Tetapi, saya selalu katakan pada diri, saya sudah puas menikmati apa sahaja makanan selama ini. Saya masih makan dengan melebihkan lauk. Berat saya kekal di bawah 80kg,” katanya.

Mengulas mengenai artis mengeluarkan produk kurus, namun hakikatnya melakukan pembedahan pemotongan usus, Cat berkata, dia enggan mengulas perkara itu.

“Saya sendiri pernah menjadi duta produk kesihatan, tetapi disangkakan produk cepat kurus. Sedangkan, produk berkenaan sebagai pengganti karbohidrat dalam badan dan menambahkan tenaga.

“Secara jujur, saya tidak berapa berkenan dengan produk kurus sebab pernah mencuba. Namun, akhirnya, semuanya bergantung pada disiplin diri,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini, Cat berkata, dia sedang menunggu filem terbitan sendiri, Marabahaya Underground lakonan Hazama, Joey Daud dan MK K-Clique.

“Album terbaharu Ruffedge di bawah terbitan Rocketfuel Entertainment juga dijangka dipasarkan, bulan depan,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen, Suriani Hassan, tahun lalu.

Sementara itu menurut Portal MYHEALTH Sleep apnea” adalah keadaan yang berlaku bila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur.

Setiap episods pernafasan akan terhenti selama 10 saat atau lebih.

Ia boleh dikategorikan sebagai ringan, sederhana atau teruk berdasarkan kepada jumlah apnea dan kadar pernafasan yang rendah (hypopnea) dalam setiap jam.

Jumlah episod “apnea” boleh berlaku diantara 5 ke 50.

BAGAIMANA IA TERJADI?

Saluran udara yang separuh tersumbat ataupun sempit tidak mendatangkan masalah pada waktu siang semasa seseorang terjaga, tetapi semasa tidur, lemak di bahagian leher akan memberi tekanan kepada salur pernafasan menyebabkan salur pernafasan bertambah sempit menyebabkan “Obstructive Sleep Apnea”. Keadaan ini diburukkan oleh alkohol dan ubat yang menyebabkan otot di bahagian tekak menjadi kendur (relak) semasa tidur.

Pada waktu saluran pernafasan tersumbat teruk, pernafasan akan terhenti untuk beberapa ketika sehingga otak mengesan kadar oksigen yang rendah. Otak akan menghantar signal kekurangan oksigen. Pada masa ini seseorang itu akan menjadi separuh sedar berdengkur, dan cuba bernafas sekuat mungkin untuk mendapatkan oksigen sebelum tidur semula. Dalam kebanyakan kes seseorang yang mengidap masalah ini tidak sedar yang beliau sebenarnya separuh sedar untuk mendapatkan oksigen. Corak tidur begini berulang beratus-ratus kali setiap malam menyebabkan tidur yang terganggu serta masalah mengantuk dan keletihan apabila bangun tidur.

PENCEGAHAN

“Obstructive sleep apnea” dan masalah berdengkur boleh diatasi dengan:

1) Elakkan pengambilan alkohol, dan ubat-ubatan seperti pil tidur, ubat penenang yang boleh memperlahankan kadar pernafasan.

2)Jaga diet anda serta bersenam dan cuba dapatkan berat badan unggul. (Indeks jisim badan yang normal)
Tidur mengiring lebih elok dari melentang.

3)Baju yang dijahit dengan bola tenis di belakang mungkin boleh membantu.

4) Berhenti merokok

5) Tinggikan kepala semasa tidur 4 in. (10 cm) ke 6 in. (15cm) dengan meletakkan batu bata di bawah kaki kepala katil.( penggunaan bantal untuk menaikkan bahagian kepala tidak berkesan)

6) Rawat masalah pernafasan seperti hidung tersumbat atau selesema kerana ia menyebabkan berdengkur bertambah teruk. Elakkan daripada mengambil antihistamin kerana ia boleh menyebabkan mengantuk dan memburukkan sleep apnea. Sebaik-baiknya ambillah ubat yang mengurangkan sumbatan (decongestant)

7) Amalkan waktu dan cara tidur yang betul.

#