Dua remaja 13 tahun didakwa bunuh pelajar tahfiz

Dua remaja 13 tahun didakwa bunuh pelajar tahfiz

15/11/2019 5:27 PM Off By Muhayudin Salleh

Dua remaja berusia 13 tahun dihadapkan ke mahkamah hari ini atas kesalahan membunuh seorang pelajar pusat tahfiz, Muhammad Aimin Nurul Amin, 7 tahun, di sebuah pusat tahfiz di Kuala Kaung, Lanchang, Temerloh, Pahang pada 7 November lalu.

Pertuduhan dibaca Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif di hadapan Hakim Mahkamah Majistret Temerloh, Ti Pei Si.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dan kedua tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Aimin Nurul Amin di asrama Madrasah Nahdah Syubhan Addiniyah, Kuala Kaung, Lanchang antara jam 11 pagi hingga 1.30 petang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun bagi pesalah kanak-kanak jika didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, mereka tidak akan dikenakan hukuman mati sebaliknya diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang Dipertuan Agong.

Hakim Mahkamah Majistret Temerloh, Ti Pei Si kemudiannya menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa dan untuk tertuduh melantik peguam.

Terdahulu, Muhammad Aimin disahkan meninggal dunia  pada 7 November lalu di Klinik Kesihatan Lanchang sekitar 1.30 tengahari selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden di dalam bilik asrama pusat tahfiz berkenaan.

Laporan bedah siasat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, mengesahkan Muhammad Aimin meninggal dunia disebabkan trauma akibat permukaan atau objek tumpul pada dada dan abdomen.