Hampir jatuh gaung akibat lembu berkeliaran

Hampir jatuh gaung akibat lembu berkeliaran

18/12/2019 2:06 PM Off By Muhayudin Salleh

Hanya kerana seekor lembu yang dilepaskan berkeliaran di ladang sawit, seorang anak peneroka nyaris terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter selepas mengelak seekor lembu yang melintas jalan di Blok 3 Jalan Selendang 1, Rompin malam semalam.

Kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu menyebabkan motosikal dinaiki mangsa, Mahadhir Mohamad Ishak,49, terbabas dan mangsa tersungkur di atas jalan.

Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan di seluruh bahagian badan termasuklah menerima 35 jahitan di bahagian kening dan kecederaan dalaman pada bahu kanan.

Mahadhir yang cedera selepas terlibat kemalangan kerana mengelak lembu yang berkeliaran atas jalan raya.

Menurut Mahadhir, semasa kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat jemaah masjid Firdaus Selendang 1.

“Semasa dalam perjalanan pulang seekor lembu tiba-tiba keluar dari ladang kelapa sawit menyebabkan saya terus mengelak dan terbabas di jalan.

“Nasib baik saya tidak laju dan tidak terjatuh ke dalam gaung. Bagaimanapun kejadian menyebabkan saya mengalami kecederaan dan menyukarkan pergerakan dan kerja apatah lagi persediaan kenduri kahwin anak sulung pada Sabtu ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian kemalangan akibat mengelak lembu ini merupakan kejadian kedua dialaminya pada tahun ini di kawasan yang sama.

Katanya, kejadian pertama pada awal tahun ini menyebablan dia mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri yang masih berasa sakit sehingga hari ini.

Katanya, akibat kejadian menyebabkan dia mengalami masalah untuk menguruskan persediaan perkahwinan anak sulungnya pada Sabtu ini.

“Saya harap pemilik lembu lebih bertanggungjawab dan saya bercadang untuk membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum apa-apa tindakan bagi mengelak kejadian seperti ini berulang,” katanya.