Kekal elaun Felda RM1,500: Bukti keprihatinan kerajaan PH

Kekal elaun Felda RM1,500: Bukti keprihatinan kerajaan PH

22/04/2019 9:32 AM 0 By admin

KUANTAN – Keputusan kerajaan mengekalkan elaun sara hidup Felda kepada peneroka pada kadar RM1,500 sebulan selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa bukti keprihatinan kerajaan PH terhadap nasib golongan itu.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Penerangan Persatuan Anak peneroka Felda kebangsaan (Anak), Zulkifli Mohamed berkata, ia satu inisiatif kerajaan yang amat baik dalam memastikan kebajikan serta nasib peneroka terjamin.

Menurutnya, kita (Anak) dan amat dialu-alukan dan berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman ini yang pastinya turut menggembirakan warga peneroka Felda seluruh negara termasuk di Pahang.

“Soalnya di sini bukan kepada kekalkan elaun sara hidup Felda itu semata-mata tetapi ia bukti keprihatinan kerajaan di bawah PH terhadap isu yang membelenggu peneroka Felda ini.

“Walaupun keadaan kewangan negara dalam keadaan tidak berapa baik tetapi bagi kerajaan kepentingan rakyat dan peneroka tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Zulkifli yang juga Naib Pengerusi Amanah Pahang berkata, pengumuman itu sedikit lewat namun akhirnya kerajaan bersetuju untuk kekalkan elaun sara hidup Felda pada kadar RM1,500 walaupun sebelum ini ada cadangan ia dikurangkan kepada RM1,000.

“Sebenarnya perkara ini salah satu perkara yang kita (Anak) perjuangkan bersama Majlis Maufakat Felda dan pelbagai pihak lain sebagai mewakili suara peneroka Felda.

“Jadi kami sambut baik berita ini dan menyeru kepada warga Felda supaya lebih berhemah dalam menerima khabar yang ditunggu-tunggu selama ini,” katanya.

Menurutnya, nasib warga Felda memang menjadi keutamaan PH sebelum ini seperti yang dijanjikan walaupun ada janji itu tidak dapat dilaksanakan secara serta merta.

“Rakyat juga kena faham bahawa tidak semua janji itu boleh ditunaikan dalam masa singkat kerana tempoh kita bekerja lima tahun.

“Tapi, pengekalan elaun sara hidup Felda ini sebahagian pelaksanaan komitmen kita terhadap peneroka Felda,” katanya.

Zulkifli berkata, walaupun peneroka mengeluh mengadu terseksa pada awalnya, ini satu pengorbanan dan akhirnya diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

“Tambahan pula dalam keadaan harga sawit rendah, sudah tentu banyak perancangan kerajaan terganggu walaupun sebenarnya kejatuhan itu buka semata-mata kerana perubahan kerajaan tetapi lebih kepada faktor luar.

“Dalam soal industri minyak sawit negara yang berdepan pelbagai cabaran hari ini, menteri berkaitan termasuk Menteri Industri Utama, Teresa Kok tidak pernah berhenti berusaha mencari pasaran baharu untuk minyak sawit negara,” katanya.

Menurutnya, Anak menyasarkan untuk memasrkan minyak sawit ke Arab Saudi dan negara-negara Afrika.

“Saya yakin ia satu peluang yang baik malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri akan ke China dalam masa terdekat ini.

“Justeru, mungkin ada perkembangan dan persetujuan baharu kedua-dua negara berkaitan perdagangan minyak sawit ini,” katanya.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat pengumuman keputusan itu selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang tidak wajar dikurangkan kepada RM1,000 seperti yang dicadangkan lembaga Pengarah Felda sebelum ini berdasarkan kedudukan kewangan agensi itu yang kritikal.