Lelaki rentung, seorang cedera kebakaran bengkel kimpalan

Lelaki rentung, seorang cedera kebakaran bengkel kimpalan

06/12/2019 8:54 PM Off By admin

Seorang pekerja bengkel kimpalan rentung manakala seorang lagi cedera dalam satu kejadian kebakaran melibatkan sebuah lori di bengkel Jalan Haji Ahmad, Semambu di sini petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, YS. Tuan Nor Hisham Mohammad berkata kebakaran berlaku ketika mangsa sedang membuat kerja kimpalan tangki diesel pada lori berkenaan.

“Pihak bomba menemui seorang lelaki yang rentung di kawasan berhampiran, manakala seorang lagi mangsa cedera di bahagian tangan.

“Kebakaran telah menyebabkan 100 peratus kemusnahan pada lori yang membawa muatan generator tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata seramai 24 orang pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi pemadaman telah dapat dikawal.

“Pihak bomba menerima panggilan daripada talian MERS 999 pada 5.33 petang sebelum mengarahkan tiga buah jentera penyelamatan dan pemadaman (FRT), sebuah jentera EMRS dan sebuah jentera tangki air (Water Tanker) dari BBP Kuantan dan BBP Indera Mahkota ke lokasi kejadian.

”Jentera pertama tiba pada 5.43 petang, dan api dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

– Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)