Makmur Relief bantu peniaga Kompleks Teruntum

16/07/2021 10:59 PM 0 By Miss Kay

KUANTAN, 17 JULAI – Sejumlah 20 kotak makanan diserahkan kepada golongan peniaga yang terkesan akibat pandemik Cov!d-19 di Kompleks Teruntum di sini, hari ini.

Sumbangan tersebut dilaksanakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Makmur Relief, bertujuan meringankan beban golongan itu yang kebanyakannya pengusaha butik pengantin dan jurusolek.

Pengerusi Makmur Relief, Ali Akhbar Osman berkata, setakat ini pertubuhan tersebut telah mengedar sekitar 100 kotak makanan kepada pelbagai lapisan masyarakat yang memohon.

“Bantuan diberikan tidak mengira latar belakang penduduk dan kaum. Kami bekerjasama dengan NGO lain seperti Kelab Media Pahang (KMP) dan Kelab Perkhemahan Pendakian dan Pengembaraan Pahang (KCHAT CLUB) bagi mengenal pasti kumpulan sasaran.

Dari kiri, Zaliman Jusoh (wakil pengusaha kedai pengantin, Datuk Nik Naizi Hussin (Presiden Kelab Media Pahang), Saudara Firdaus (Wakil NGO Makmur Relief), Ali Akhbar (Pengerusi Makmur Releif) dan Wan Fariduddin Wan Ibrahim (Pengerusi KCHAT Club)

“Kali ini, majoriti mereka adalah kalangan peniaga dalam Kompleks Teruntum yang kita sedia maklum tidak boleh berniaga sejak awal pan.demik yang mana pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Cob!d19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD (Diperketat).

“Sebelum ini Makmur Relief giat membantu golongan peniaga kecil seperti penggerai untuk berniaga. Kami bantu mereka bagaimana cara untuk komersialkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Antaranya menyediakan bengkel latihan perniagaan dan menghubungkan kepada agensi-agensi yang boleh membantu mereka.

“Dan kali ini, kami cuba sedaya termampu untuk memberikan perhatian kepada mereka yang terjejas pendapatannya menerusi sumbangan barangan makanan asas seperti telur, susu, beras, kopi, teh, biskut, minyak masak dan mi segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kru Timurdaily pada program penyerahan kotak makanan tersebut yang diadakan secara pandu lalu, hari ini.

Hadir sama, Presiden Kelab Media Pahang (KMP) Datuk Nik Naizi Hussin mewakili kumpulan media; Pengerusi KCHAT Club, Wan Fariduddin Wan Ibrahim (mewakili petugas sukarelawan) dan Zaliman Jusoh mewakili pengusaha butik pengantin.

Nik Naizi berkata, kumpulan media yang menjadi sebahagian penerima pada hari ini merupakan kalangan unit berita semasa RTM dan pesara pemberita dari Sin Chew Daily.

“Kumpulan pertama seramai 25 orang telah menerima sumbangan yang sama juga dari Makmur Relief dan diadakan secara pandu lalu, dua minggu lepas. Usaha murni pihak pihak yang terlibat wajar dipuji dalam membantu golongan peniaga di kompleks ini kerana mereka tidak boleh berniaga sudah sekian lama,” katanya.

Sementara itu, bagi Pengerusi KCHAT Club, Wan Fariduddin berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Makmur Relief yang sudi menghulurkan bantuan di saat ada yang memerlukan.

Pihaknya menjadi pemudahcara kepada para peniaga di KomplekS Teruntum selepas mendapati golongan ini berdepan pelbagai kesukaran dan tidak boleh berniaga.

“Saya juga salah seorang penyewa kedai di kompleks ini, jadi saya menyaksikan segala keluhan dan perkongsian sesama peniaga. Dari situ saya menghubungi wakil peniaga lain iaitu saudara Zaliman dan Datuk Nik Naizi serta Makmur Relief untuk mengaturkan sesi penyampaian secara pandu lalu ini. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dalam beberapa minit sahaja,” katanya.

Beliau turut menyampaikan tiga sumbangan dari Makmur Relief ke rumah tiga peniaga lain yang tidak mempunyai akses untuk ke Kompleks Teruntum pada hari yang sama.

Tamat