Mangsa banjir di Raub meningkat. Pesakit strok antara yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara

14/07/2021 10:32 PM 0 By Miss Kay

Oleh Miss U

RAUB,12 JULAI – Seramai 214 orang daripada 56 keluarga di sini dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 6.30 petang.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan 37 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai dan 16 orang daripada lima keluarga di Masjid Kampung Kuala Semantan.

“Sementara di SK Kundang Patah (113 orang,29 keluarga) ; Balairaya Kampung Sengkela (lima orang,satu keluarga); Dewan Serbaguna Kampung Pia (32 orang,10 keluarga) ; Balairaya Kampung Gesing (enam orang satu keluarga) manakala Dewan Orang Ramai Kampung Chenua menempatkan lima orang sekeluarga,” lapornya.

Sebelum itu, Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Raub berjaya menyelamatkan tiga termasuk seorang lelaki menghidap strok yang terperangkap di dalam rumah akibat bencana banjir yang berlaku di daerah itu.

Ketua Balai Bomba dan penyelamat Raub,Khairul Anuar Yaacob dalam satu laporan menyatakan, kesemua mereka terperangkap di dalam rumah selepas air banjir naik sehingga paras satu meter di kawasan berhampiran masjid Kampung Gali kira-kira 11.58 pagi tadi.

Katanya, pasukan bomba membuat operasi menyelamat menggunakan tali dan Peranti Pengapungan Peribadi (PFD) yang dipakaikan kepada mereka.

Sedikit info mengenai banjir di Pahang pada Januari lalu yang dikatakan terburuk selepas 1971.

Jumlah mangsa banjir di Pahang kini 27,294 orang membabitkan 7,329 keluarga yang kini ditempatkan di 291 pusat pemindahan sementara (PPS).

Daripada jumlah itu, Temerloh merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 10,882 orang daripada 2,744 keluarga diikuti Kuantan 2,243 orang (620 keluarga); Maran 3,433 orang (903 keluarga) dan Raub 1,998 orang (529 keluarga).

Sementara itu pada Februari lalu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan, setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau rumah saudara-mara berikutan banjir pada Januari lalu bakal menerima bantuan tunai sebanyak RM500.

Sumbangan tunai dengan nilai sama juga akan diberikan kepada peniaga gerai dan rumah kedai yang turut terkesan dengan bencana sama di seluruh negeri.

Katanya, penerima bantuan tunai itu melibatkan 18,726 ketua isi rumah (KIR) dengan jumlah peruntukan kira-kira RM9.4 juta.

#