Mayat bayi ditemukan dalam gumpalan kain langsir

Mayat bayi ditemukan dalam gumpalan kain langsir

21/04/2019 11:09 AM 0 By admin

Mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan, ditemukan di tepi bekas kontena sampah di Taman Setapak Jaya, di Kuala Lumpur petang tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Noor Azmi Yusoff berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada 3 petang daripada seorang wanita.

Wanita itu ternampak gumpalan kain langsir yang mencurigakan berhampiran bekas kontena berkenaan sebelum mengangkatnya dan terlihat mayat seorang bayi yang cukup sifat di dalam gumpalan berkenaan, katanya ketika dihubungi.

“Siasatan mendapati mayat bayi itu dipercayai dibungkus di dalam kain langsir yang dipenuhi darah berkenaan dan pemeriksaan awal pada mayat bayi juga tidak menemukan sebarang kesan kecederaan,” katanya.

Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran kanak-kanak dengan mengebumikan atau membuang mayat kanak-kanak dengan sulit, katanya.

– Bernama