Pahang selaraskan NGO, sukarelawan bencana

20/12/2019 10:02 AM Off By Miss Kay

dav

KUANTAN – Skuad Bencana Pahang Darul Makmur ditubuhkan bagi menyelaras 48 pertubuhan sukarelawan bencana di negeri ini agar lebih teratur, sistematik dan strategik dari segi pengurusan dan pergerakan bantuan ketika bencana.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun ia tidak akan mengganggu tugasan pasukan penyelamat sedia ada, sebaliknya sekadar membantu dan menyokong pasukan tersebut.

Menurutnya, bagi tujuan itu kerajaan Pahang telah memperuntukkan sejumlah RM363,700 untuk perbelanjaan pengurusan bencana dan bantuan menjadikan keseluruhan RM22,356,523.99 bagi 2019.

“Peruntukan tersebut dikeluarkan di bawah Pejabat Menteri Besar Pahang sesuai keupayaan negeri pada masa ini. Ia diluluskan bagi tujuan pergerakan sukarelawan, majlis dan acara berkaitan.

“Ia bukan untuk NGO semata-mata tetapi juga kepada rakyat yang sakit, baikpulih rumah dan bantuan pembelajaran di bawah Pejabat Menteri Besar Pahang.

“Ini adalah duit kerajaan negeri yang perlu dibelanjakan dengan teliti. Kita akan pastikan mereka atau NGO yang mendapat peruntukan adalah mereka yang benar-benar berkelayakan,” katanya pada sidang media pelancaran Skuad Bencana Pahang Darul Makmur di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini, hari ini.

Pada program tersebut seramai 421 individu turut mendaftar sebagai sukarelawan skuad tersebut.

Hadir sama, Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Ahahaniza Shamsuddin; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Sumber Manusia, Belia ,Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda dan Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Wan Rosdy berkata, idea penubuhan Skuad Bencana Negeri Pahang ini juga menunjukkan sikap toleransi rakyat negeri ini yang wajar dibanggakan.

“Begitu pun Skuad Bencana perlu bersedia hadapi bencana dengan mempersiapkan diri dari segi pengetahuan umum kaedah menyelamat. Jangan sampai anda ke Rompin nak selamatkan orang lain tapi anda pula yang kena selamatkan oleh orang lain. Maksudnya kena tahu limitasi sendiri. Kena seimbangkan.

“Saya ingin melahirkan penghargaan tinggi kepada semua kerana ini penubuhan sukarela. Keinginan dan kesanggupan tuan puan meluangkan masa, tenaga untuk pertubuhan adalah suatu inisiatif yang baik tanpa mengharapkan apa-apa bayaran.

“Sanggup berkorban masa semata-mata untuk membantu masyarakat. Bukan semua orang mahu,” katanya.

Tamat