Pemangku Raja Pahang bakal tamatkan kursus ketenteraan

Pemangku Raja Pahang bakal tamatkan kursus ketenteraan

04/12/2019 6:09 PM Off By admin

Pasti rakyat Pahang tertunggu-tunggu kepulangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini sedang menjalani kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.

Kerinduan rakyat Pahang terhadap baginda akan terubat tidak lama lagi, apabila KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bakal menamatkan kursus ketenteraan itu pada 13 Disember ini.

Khabar gembira itu dikongsi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj melalui akaun Twitter peribadi baginda, semalam.

Baginda bertitah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan keluarga berkenan berangkat menghadiri majlis perarakan pentauliahan KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Sandhurst pada 13 Disember ini.

“InsyaAllah pada 13 Disember ini, tamatlah kursus ketenteraan KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Royal Military Academy Sandhurst dan akan pulang ke Malaysia untuk berkhidmat di Rejimen 12 Askar Melayu Diraja di sini.

“Pemangku Raja Pahang akan pulang ke tanah air selepas menunaikan Umrah pada bulan Januari nanti,” titah baginda.

KDYMM Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengikuti kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst selama setahun sejak Januari lalu. Baginda telah berjaya menjalani pelbagai latihan lasak dan mencabar ketika berada disana. Sudah tentu pengalaman Baginda itu amat berharga buat negara dan Negeri Pahang.

Turut dikongsikan foto-foto menarik ketika Baginda mengikuti kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst bagi mengubati rindu Rakyat Pahang.

-Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)