Pembaharuan Roadtax Di PUSPAKOM: Cara Buat Temu Janji Online

Pembaharuan Roadtax Di PUSPAKOM: Cara Buat Temu Janji Online

10/09/2021 2:23 AM 0 By staff

Bermula 1 September 2021, orang ramai kini boleh membuat pembaharuan cukai jalan (roadtax) kenderaan persendirian (kecuali motosikal) di Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM yang berhampiran.

PUSPAKOM merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan yang pertama dan satu-satunya yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori bagi kedua-dua kenderaan komersial dan persendirian.

Fungsi utama PUSPAKOM menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan bagi membantu pemilik kenderaan dalam memastikan kenderaan berada di dalam keadaan yang selamat untuk dipandu di atas jalan raya.

Oleh itu, selain daripada pemeriksaan kenderaan, orang ramai kini boleh membaharui insurans dan cukai jalan di PUSPAKOM tanpa bersusah payah ke tempat lain untuk menyelesaikan urusan tersebut.

Jenis Pembaharuan Roadtax Di PUSPAKOM

Terdapat dua jenis pembaharuan roadtax yang boleh dilakukan di PUSPAKOM iaitu:

  • Semua kenderaan persendirian kecuali motosikal dan kenderaan e-hailing.
  • Kenderaan perdagangan decontrolled 7,500 kg ke bawah (tidak termasuk kenderaan berpermit seperti bas sekolah, teksi, dan lain-lain.

Lokasi Perkhidmatan Pembaharuan

Orang ramai boleh memperbahrui roadtax di semua cawangan PUSPAKOM di Semenanjung Malaysia kecuali di Taman Daya.

Untuk mengetahui lokasi cawangan PUSPAKOM di Semenanjung Malaysia, sila layari pautan berikut iaitu https://www.puspakom.com.my/branches/?lang=ms.

Cara Membuat Temu Janji

Pembaharuan roadtax di PUSPAKOM hanya boleh dibuat melalui temu janji.

Bagi orang ramai yang ingin membuat temu janji, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:

  1. Layari laman web PUSPAKOM iaitu https://lkm-appointment.puspakom.com.my.
  2. Klik butang ‘Make an Appointment Now.’
  3. Pilih negeri dan klik Pusat Pemeriksaan PUSPAKOM yang ingin dikunjungi.
  4. Pilih tarikh dan masa yang diingini.
  5. Isi maklumat diri dengan melengkapkan nama, email, no telefon, dan no kad pengenelan.
  6. Klik butang ‘Book’ untuk melengkapkan permohonan temu janji.
  7. Pengesahan temu janji dihantar melalui email yang didaftarkan.

Dokumen Yang Diperlukan

Untuk orang ramai yang mendapat pengesahan tarikh dan masa temu janji, mereka perlu membawa beberapa dokumen yang diperlukan iaitu:

  1. Cover note insurans
  2. Kad pendaftaran kenderaan (geran)

Pertanyaan Lanjut

Untuk pertanyaan lanjut mengenai pembaharuan cukai jalan di PUSPAKOM, sila hubungi Customer Service Careline PUSPAKOM di talian 03-5101 7000 atau menghantar email ke customerservice@puspakom.com.my.