Pencuri duit peniaga nasi lemak dirakam CCTV

Pencuri duit peniaga nasi lemak dirakam CCTV

07/06/2021 2:32 PM Off By staff

KUALA LANGAT – Dua lelaki yang sanggup mencuri duit peniaga nasi lemak kini tidak ubah seperti cacing kepanasan apabila aksi mereka berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di sebuah restoran di Tropicana Aman, di sini semalam.

Kejadian berlaku pukul 10 pagi, ketika dua suspek menaiki motosikal singgah di restoran tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor berkata, salah seorang suspek didapati telah berpura-pura memesan nasi lemak daripada mangsa perempuan berusia 40 tahun.

“Apabila mangsa menoleh mendapati lelaki tersebut telah pergi dan melarikan bekas berisi wang hasil niaga nasi lemak bernilai RM200.

“Turut dilarikan suspek adalah sebuah telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek terlibat sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, Ahmad Ridhwan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor K. Yusheindran di talian 0149653084 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat menerusi talian 03-31872222 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular video CCTV berdurasi 44 saat di laman sosial Facebook memaparkan aksi jenayah berkenaan yang mendapat kecaman daripada netizen yang bersimpati dengan nasib para peniaga itu selain berharap kifarah kepada suspek tersebut.

“Sudah orang susah ditambah susah lagi, harap kifarah yang kau dapat wahai pencuri,” jelas netizen Mohd. Ariff II.

SUMBER : KOSMO ONLINE