Pendakwaan anggota dipecat, PKR serah kepada SPRM

Pendakwaan anggota dipecat, PKR serah kepada SPRM

25/11/2019 1:19 PM Off By Muhayudin Salleh

PKR menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk meneruskan pendakwaan atau tidam berkaitan kes rasuah melibatkan dua ahli PKR yang dipecat, semalam.

Melalui satu kenyataan media, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata, Lembaga Disiplin juga telah diarah untuk memaklumkan kepada SPRM akan tindakan yang dikenakan terhadap dua individu tersebut.

Menurutnya, berdasarkan siasatan SPRM yang menyeluruh itu, Majlis Pimpinan Pusat telah mengambil pendirian bahawa siasatan SPRM itu lengkap, menyeluruh dan mendalam.

“Oleh sebab itu, tiada keperluan untuk parti membuat siasatan tambahan. MPP juga telah menerima cadangan Lembaga Disiplin agar dua individu tersebut dipecat.

Majlis Pimpinan Pusat juga berpendirian bahawa terserah kepada pihak SPRM sama ada untuk meneruskan pendakwaan atau tidak,” katanya, semalam.

Semalam, PKR telah mengumumkan pemecatan dua anggota, iaitu Zakaria bin Abdul Hamid yang merupakan Ketua PKR Cabang Bera dan Ismail bin Dulhadi, sebagai langkah susulan daripada siasatan penuh SPRM terhadap satu dakwaan salah laku rasuah yang dipercayai berlaku sewaktu proses pemilihan parti pada 2018.

Siasatan SPRM ini adalah berdasarkan satu laporan yang dibuat anggota parti, Syukri Razab, pada 25 September 2018 yang lalu.

Ia adalah satu siasatan yang menyeluruh di mana kesemua pihak yang terkait dengan insiden tersebut telah dipanggil untuk beri keterangan.

Setelah pihak SPRM selesai menjalankan siasatan, pihak SPRM telah menulis kepada Lembaga Disiplin mencadangkan agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap kedua-dua individu tersebut mengikut peraturan parti.