Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pahang, Melaka, Sabah

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pahang, Melaka, Sabah

04/07/2021 3:18 AM 0 By staff

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Pahang, Melaka, Sabah serta sebuah kilang dan dua asrama pekerja di Perak, bermula Sabtu ini hingga 16 Julai depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kilang di Perak yang dikenakan PKPD ialah Kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan asrama pekerja Latexx Village, Taiping

Berlaku peningkatan kes dalam tempoh singkat apabila 237 kes positif direkodkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 795 saringan.

“PKPD turut dilaksanakan di asrama pekerja Kilang Latexx 3, Jalan IKA Taman Industri Kamunting Aman, Kamunting, Perak.

“Sebanyak 213 kes positif direkodkan selepas KKM melakukan 561 saringan dalam kalangan pekerja,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya PKPD juga akan dilaksanakan di Mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan, Pahang selepas 369 kes positif COVID-19 dikesan daripada 5,219 saringan yang dijalankan.

“PKPD kali ini turut membabitkan Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Melaka selepas 55 kes positif COVID-19 direkodkan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini,” katanya.

Sementara itu, katanya PKPD di Sabah membabitkan dua lokaliti di Tawau iaitu Kampung Mangga, Nasip Kita dan Kampung Kijang, Balung.

PKPD di Sabah turut membabitkan Taman Jaya Diri di Kota Kinabalu, Kampung Lingkodon di Kota Belud, Kampung Pintas Kubu di Beaufort, Kampung Muhibbah di Putatan dan Kampung Goshen di Kota Marudu.

Sementara itu, PKPD di sembilan rumah panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah Sarawak yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan dua minggu lagi bermula Sabtu hingga 16 Julai depan.

Pelanjutan tempoh PKPD untuk tempoh sama turut membabitkan PKPD asrama pekerja warga asing dan kawasan kilang Wah Cens Plastics Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat, Johor.

Ismail Sabri berkata, keputusan melanjutkan PKPD selepas KKM mendapati masih berlaku penularan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baru direkodkan di kesemua lokaliti terbabit.

“Sebanyak 299 ujian saringan dilakukan KKM di sembilan rumah panjang Sungai Rassau dan 62 kes positif direkodkan.

“Sementara itu, di asrama pekerja warga asing dan kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, 700 pekerja disahkan positif COVID-19 daripada 1,026 ujian saringan yang dijalankan setakat ini,” katanya.

Sementara itu, katanya PKPD di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan akan ditamatkan esok, sehari lebih awal daripada tarikh jadualkan.

SUMBER : BH ONLINE