Quartararo dikenakan hukuman penalti tiga saat

Quartararo dikenakan hukuman penalti tiga saat

08/06/2021 6:30 PM 0 By staff

BARCELONA – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo mengakui dia tidak tahu bagaimana sut perlumbaannya itu secara tiba-tiba tertanggal ketika dia ber­saing untuk merebut kemenangan pada baki lima pusingan di Grand Prix (GP) Barcelona kelmarin.

Pelumba Perancis tersebut dilihat membuang pelindung dadanya dan cuba untuk menarik zip sut yang terbuka itu, namun gagal melakukannya sehingga dilihat mengganggu tunggangannya.

Meskipun berjaya menamatkan saingan tempat ketiga, namun tindakan bahaya tersebut menyebabkan Quartararo dikenakan penalti tiga saat dan turun tangga keenam ­keseluruhan.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana secara tiba-tiba sut perlumbaan saya terbuka sendiri pada baki lima pusingan terakhir.

“Saya cuba menutup semula sut, namun gagal melakukannya dan sukar untuk saya me­nunggang jentera dalam keadaan tersebut. Saya akui sangat kecewa dengan insiden ini.

“Apa pun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang membuat aduan untuk saya menerima hukuman ini walaupun saya tidak membahayakan sesiapapun,” kata Quartararo.

Dalam pada itu, bekas pelumba MotoGP, Casey Stoner berpendapat tindakan Quartararo dianggap bahaya dan sepatutnya bendera hitam dikibarkan, malah pelumba Yamaha itu perlu segera keluar dari saingan tersebut.

“Sengaja atau tidak, bendera hitam patut dikibarkan kepada Quartararo di mana anda tidak diizinkan untuk berlumba dengan kelajuan 350 kilometer sejam dengan keadaan sut perlindu­ngan terbuka,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Pelumba Portugal, Miguel Oliveira mengungguli perlumbaan tersebut selepas mengatasi cabaran Johann Zarco pada hujung saingan. Pelumba Australia, Jack Miller pula meraih podium ketiga selepas Quartararo dikenakan penalti tiga saat. – AGENSI

SUMBER : KOSMO ONLINE