Rakit PVC untuk penduduk Kampung Bantal

Rakit PVC untuk penduduk Kampung Bantal

02/12/2019 8:33 AM Off By admin

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang yang juga ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menyerahkan sebuah rakit yang diperbuat daripada PVC untuk persiapan penduduk Kampung Bantal menghadapi kemungkinan di landa banjir di Ulu Tembeling, semalam.

Rakit tersebut boleh digunakan sekiranya berlaku kecemasan untuk mengangkut dan memindahkan penduduk mahupun barangan keperluan seperti makanan dan sebagainya.

Beliau turut meninjau sebuah jambatan gantung berhampiran Sekolah Kampung Pagi yang mulai rosak akibat arus deras air Sungai Tembeling sejak beberapa hari lalu dan ia akan dibaik pulih segera terutama menjelang musim sekolah bermula.

Sebelum itu beliau meninjau paras air Sungai Pahang di Kuala Tahan yang semakin meningkat naik. Penduduk disana diminta supaya bersiap sedia mengambil segala langkah keselamatan, menyimpan segala barangan yang penting di tempat yang lebih tinggi bagi menghadapi kemungkinan sekiranya banjir terjadi kelak.

Untuk pengetahuan, segala persiapan barangan keperluan dan makanan telah diagihkan sejak bulan Oktober lalu di pangkalan hadapan seluruh Negeri Pahang.

Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperuntukkan RM1 juta bagi keperluan makanan kepada semua mangsa banjir di negeri ini.

Semoga segala perancangan dipermudahkan dan penduduk di Ulu Tembeling, Kampung Bantal, Kuala Tahan, Kampung Pasir Sia dan sekitarnya dihindarkan dari bencana banjir.

-Unit Komunikasi Dan Media Pahang ( UKOMP)