Stadium Nasional akan jadi Wembley

Stadium Nasional akan jadi Wembley

24/04/2019 1:44 PM 0 By admin

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bakal bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mewujudkan suasana Stadium Wembley di Stadium Nasional Bukit Jalil pada masa akan datang.

Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes, akan mengumumkan kerjasama dengan FAM bulan depan dalam misi menarik lebih ramai pengunjung ke Stadium Nasional.

Apa yang lebih mengagumkan, Tony mahu menarik perhatian pelancong dan rakyat Malaysia untuk melawat stadium bukan hanya ketika perlawanan berlangsung, sebaliknya juga jika tiada sebarang kejohanan.

Antara perkara yang bakal dilaksanakan dalam kerjasama itu adalah, penjualan barangan Harimau Malaya selain mewujudkan lebih pilihan gerai makanan, sekali gus menjadi tarikan orang ramai.

“Kami akan bekerjasama lebih rapat dengan persatuan sukan dalam usaha ini. Jika anda ke Stadium Wembley atau Old Trafford, terdapat muzium dan kedai menjual barangan kelab tersebut,” kata Tony.

“Kami mahu membuat tarikan yang sama di Stadium Nasional Bukit Jalil supaya orang boleh hadir ke stadium melihat sesuatu yang berbeza daripada menyaksikan kejohanan sukan yang diadakan di venue tersebut.”

Tony turut menyatakan hasrat untuk menambah variasi acara sukan di stadium itu sebagai tarikan, dengan tumpuan juga terarah kepada program hiburan seperti konsert antarabangsa.