Tidak serik diganggu makhluk halus barang antik

Tidak serik diganggu makhluk halus barang antik

18/04/2019 3:13 AM 0 By admin

KUANTAN – Aktiviti mengumpul barang-barang lama atau vintage merupakan suatu hobi yang menarik namun ia memiliki risiko yang perlu ditempuhi oleh pengumpulnya.

Pemilik Rumah Klaksik dan Karat Pekan, Hairol Budiman Abu Bakar, 47, di Jalan Rompin Lama mengakui sepanjang 27 tahun mengumpul barangan antik, pelbagai pengalaman dilalui termasuk diganggu makhluk halus.

Menurutnya, makhluk terbabit dikatakan ‘bersama’ kacip sirih milik seorang penduduk Sungai Lembing yang dibelinya beberapa tahun lalu.

“Kejadian itu membuatkan saya lebih berhati-hati setiap kali ditawarkan barangan antik terutama daripada tembaga dan tembikar. Keris lama juga tidak terkecuali mempunyai ‘penunggu’ yang akan mengganggu pemiliknya.

“Bagi mengelak kejadian sama, saya mengambil pendekatan mendapatkan maklumat daripada pemilik senjata lama seperti keris, lembing dan parang bagi mengetahui alasan mereka mahu menjual barangan itu,” katanya.

Hairol Budiman memberitahu, ramai rakannya yang mempunyai minat sama dari seluruh negara bertukar maklumat dan menjalankan perniagaan secara tukar barang.

“Selain membeli dan menjual, saya juga menyewakan kepada individu berminat untuk pameran dan perhiasan pada majlis tertentu,” katanya.

Selain risiko ini, ramai juga menganggap individu yang suka mengumpul barang lama dan antik melakukan ‘kerja gila’ kerana kosnya yang tinggi.

Bagaimanapun, kepuasan memiliki barangan yang disukai ‘merelakan’ mereka menghabiskan wang ringgit kerana keutamaan adalah memiliki barang berkenaan.

Ia disebabkan barangan lama ada kisah dan sejarah tersendiri dan keunikan barangan itu hanya dapat dinilai oleh peminatnya.

Menurut Hairol, pada peringkat awal pembabitan, dia lebih berminat mengumpul basikal tua pelbagai jenama dari dalam dan luar negara.

“Saya terpaksa keluar masuk kampung di beberapa negeri untuk bertemu pemilik barangan lama. Bila dah jumpa saya akan beli termasuk radio, setem, kipas, buku, majalah lama dan sebagainya.

“Saya tahu setiap barang lama ada nilai tersendiri dan hanya orang seperti saya sahaja memahami,” katanya.

Sebelum ini beliau juga pernah mengumpul 75 unit basikal dan akan dibersihkan, dibaiki dan seterusnya dicat sehingga mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dalam kalangan warga emas tetapi golongan muda.

Pencinta barang antik yang menetap di Indera Sempurna ini memberitahu, dia terpaksa membelanjakan ribuan ringgit untuk mendapatkan barangan kesukaannya semata-mata untuk simpanan peribadi.

“Saya tidak ingat berapa yang sudah saya laburkan bagi mendapatkan semua barangan antik ini sebab saya beli satu demi satu… lama-lama koleksi itu jadi banyak,” katanya.

Lebih menarik, kebanyakan rakannya sanggup berkunjung ke lokasi pengumpulan barang antik di Rumah Klasik dan Karat Pekan untuk memilih sendiri barang diminati.

“Pengalaman menerima bayaran RM150,000 hasil jualan 300 keping setem beberapa negara asing menjadi kenangan paling manis yang tidak mungkin saya lupakan.

“Saya bagai bermimpi menerima bayaran sebanyak itu daripada dua pelancong Singapura seolah-olah tak masuk akal. Sejarah lima tahun lalu itu membolehkan saya membeli sebuah rumah,” katanya.

Dia juga tidak menyangka akan menjadi sebutan dalam kalangan peminat barangan itu dari dalam dan luar negara sehingga ada yang membuat tempahan secara tetap.