Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar

Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah terbakar

17/05/2019 9:19 AM Off By admin

Dugaan Ramadan buat tiga keluarga apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Repas, Bentong, semalam.

Rumah separa kayu itu musnah dalam kebakaran kira-kira jam 6 petang.

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian itu dipercayai bermula dari sebuah rumah yang tidak ada penghuni.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, bomba berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 7.20 petang selepas tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.39 petang.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati api telah marak di rumah kedua.

“Kita berusaha mengawal kebakaran daripada merebak ke surau bersebelahan dan sebuah rumah di belakang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, cuma seorang wanita di rumah bersebelahan mengalami sesak nafas dan pengsan akibat asap tebal dan seorang remaja mengalami luka kecil di bahagian kaki,” katanya lagi.

Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran daripada segenap aspek dan juga jumlah kerugian dialami mangsa.