TotalLockdown penuh esok

TotalLockdown penuh esok

31/05/2021 1:29 PM Off By staff

PETALING JAYA – Kerajaan semalam memutuskan untuk membenarkan 12 sektor beroperasi sepanjang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown Fasa Pertama bermula esok.

Kosmo melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana sektor yang tidak disenaraikan perlu ditutup dan tidak dibenarkan langsung untuk beroperasi dalam usaha kerajaan mengawal pergerakan rakyat, sekali gus membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya, antara yang ditutup ialah semua pusat beli-belah dan perkilangan yang berkuatkuasa selama 14 hari.

“Buat masa ini, ada 17 sektor yang dibenarkan beroperasi dan selain daripada yang disenaraikan ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Antara sektor-sektor yang dibenarkan ialah perkhidmatan makanan dan minuman termasuk untuk haiwan, penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk pakar veterinar, air, tenaga, keselamatan, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan.

“Turut dibenarkan ialah pengangkutan darat, air dan udara, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang juga sektor komunikasi seperti internet, pos, kurier dan penyiaran bagi tujuan penyampaian berita dan seumpamanya sahaja,” katanya pada sidang akhbar khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah di Putrajaya semalam.

Tambah beliau, kerajaan turut membenarkan sektor seperti perbankan,insuran, takaful dan pasaran modal, kredit komuniti, E-dagang dan teknologi maklumat, serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

“Perkhidmatan hotel dan penginapan yang hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan, pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal juga dibenarkan.

“Kerajaan juga akan membenarkan perkhidmatan perhutanan terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu sahaja untuk terus beroperasi,” ujar beliau.

Tambah beliau, kesemua sektor berkenaan bagaimanapun hanya dibenarkan beroperasi dalam tempoh 8 pagi sehingga 8 malam dengan kapasiti bekerja adalah seramai 60 peratus.

Mengulas mengenai sektor perkilangan, Ismail Sabri berkata, pada dasarnya semuakl semua sektor perkilangan tidak dibenarkan beroperasi, namun kelonggaran dengan syarat tertentu diberikan kepada 12 jenis sektor.

Katanya, sektor itu termasuk melibatkan aero angkasa (komponen dan penyelenggaraan, baik pulih dan ‘overhaul’, makanan dan minuman dan bahan pembungkusan dan percetakan berkaitan bahan makanan dan kesihatan.

Beliau berkata, sektor perkilangan lain yang dibenarkan berkaitan barang-barang penjagaan diri dan bahan pencuci dan keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan.

Sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi juga perlu mengehadkan jumlah pekerja, iaitu setakat 60 peratus pekerja sahaja.

“Kita berharap sektor perkilangan yang dibuka itu akur dengan arahan dengan diberikan kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa semua pusat beli-belah akan ditutup sepanjang tempoh lockdown selama dua minggu kecuali pasar raya dan penjualan makanan dan minuman serta keperluan asas yang terdapat di kawasan itu.

Mengenai surat kebenaran perjalanan untuk bekerja, beliau semua surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah terbatal mulai 1 Jun ini.

“Permohonan baru bagi kebenaran perjalanan perlu dikemukakan kepada kementerian yang berkaitan dan Menteri Kanan Kerja Raya (Infrastruktur) Datuk Seri Fadillah Yusof akan mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung surat kebenaran pergerakan pekerja esok. 

“Selepas ini juga pihak Polis Diraja Malaysia dan penguatkuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan bagi memastikan majikan mematuhi arahan kerajaan untuk membenarkan hanya 60 pekerja di pejabat pasa satu-satu masa,” tegas beliau

Terdahulu, kerajaan pada 28 Mei lalu mengumumkan total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

SUMBER : KOSMO ONLINE