Wan Nordin Dakwa Lirik Lagu “Menghilir Di Sungai Pahang” Terbalik

Wan Nordin Dakwa Lirik Lagu “Menghilir Di Sungai Pahang” Terbalik

03/07/2021 5:14 PM 0 By Miss Kay

Oleh: Miss U

JERANTUT, 3 JULAI – Penduduk asal Kampung Ulu Tembeling di sini, Wan Nordin Wan Mustafar mendakwa lirik lagu Menghilir Di Sungai Pahang, pada bait pertama adalah terbalik dan tidak bertepatan dengan sejarah.

Wan Nordin Wan Mustafar

Beliau yang ditemualbual dan dimuat naik oleh Yassin Sulaiman di laman facebook Potret Jerantut berkata, bait “Menghilir Di Sungai Pahang, singgah bermalam di Pasir Tambang” adalah terbalik dan salah.

“Bukan menghilir ke Sungai Pahang singgah bermalam di Pasir Tambang…salah..tak betul dari sejarah. Yang betulnya Pasir Tambang kena menghilir dari Hulu Tembeling dulu,baru
singgah di Pasir Tambang, ” katanya.

Katanya, dari segi sejarah sebelum ditabal menjadi Bendahara Sewaraja, Wan Ahmad telah menghilir dari hulu tembeling sampai ke Pasir Tambang.

Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah

“Dari Pasir Tambang Wan Ahmad menghilir sampai ke Kuala Tawar dan ditabal
menjadi Sultan Pahang. Jadi di Tembeling ini air jernih, lawa tempatnya.Hutan pun tinggi dan ada Gunung Tahan paling tinggi sekali.

“Ikan pun mahal ikan kelah tu sampai RM100 lebih. Lagi pula, ada ikan jelawat lagi mahal. Pelancong pun banyak (ramai) datang ke Tembeling.

Keindahan Kampung Gusai di Ulu Tembeling – Sumber Foto: google

“Jadi oleh kerana keindahan Sungai Tembeling ini saya jadikan satu lagu untuk Sungai Tembeling,” katanya yang kemudian menyanyikan sebuah lagu karangannya dalam video berdurasi 4 minit 9 saat.

Lirik lagu adalah seperti berikut:

Indah sungguh tembeling kita,

tanah bertuah di zaman pusaka,

tanahnya subur merata-rata,

apa ditanam hai cantik belaka,

Luasnya hutan tanda kaya,

gunung tinggi tandanya mulia,

Air jerenih tanda sentosa,

jeram dan pasir tempat bersuka,

Ke hutan berburu ke pada memikat,

ke sungai menjala ke lubuk memukat,

Apa dibuat semuanya berkat,

kerana negerinya raja berdaulat,

pemimpinnya banyak berbagai aneka,

rakyat lah pulak berbagai bangsa,

hiduplah rakyat aman sentosa,

kerana negerinya makmur bahgia,

SubhanaAllah, Allahuakbar.

Menurut portal PeKhabar, pada 6 Ogos 1882,Bendahara Negeri Pahang, Bendahara Wan Ahmad memakai gelaran Sultan pada tahun itu.

Istiadat pemakaian gelaran Diraja ini telah diadakan secara rasmi pada 12 Disember 1884 di Pekan, Pahang.

Baginda kemudian bergelar Sultan Ahmad AI-Muadzam Shah.

Dalam istiadat tersebut juga, isteri baginda, Tuan Besar Wan Fatimah yang bergelar Cik Puan Bongsu diberi gelaran DYMM Tengku Ampuan Pahang. Manakala putera-puteri baginda yang bergelar Wan dan Tun diganti dengan panggilan Tengku.

Dengan penabalan gelaran Sultan, Bendahara Wan Ahmad merupakan keturunan Bendahara yang mula-mula sekali memakai gelaran DYMM Sultan Pahang.

Pihak Inggeris hanya mengiktiraf pemakaian gelaran ini oleh Bendahara Wan Ahmad pada tahun 1887. Sultan Ahmad memerintah Pahang dari tahun 1863.

Sebelum dari ini telah berlaku satu perang saudara di antara baginda dan kekandanya Wan Mutahir akibat perebutan kuasa. Peperangan ini telah berlarutan sehingga 6 tahun, di mana Wan Mutahir tewas dan melarikan diri ke Tanjung Teja bersama anaknya Wan Koris.

Dalam pelarian tersebut, Wan Koris telah mangkat di Kuala Pahang dan Wan Mutahir mangkat di Kuala Sedeli.

Baginda telah memerintah negeri Pahang selama 51 tahun iaitu dari tahun 1863 hingga 1882 sebagai Bendahara dan dari tahun 1882 hingga 1914 sebagai Sultan Pahang.

Baginda mangkat pada 9 Mei 1914 dan digantikan oleh Puteranya Tengku Mahmud sebagai Sultan Pahang Kedua.

#